Allah kekuatan pendakwah
Dikirim pada 12 Mei 2007 oleh ustaz Fauzi
I. TABIAT JALAN DAKWAHJalan dakwah bukanlah jalan yang mudah. Ia berliku-liku dan dipenuhi dengan ranjau dan onak yang menyakitkan serta hiasan dan keindahan yang mengelirukan. Tidak ada yang akan sampai ke hujung kecuali mereka yang dirahmati Allah. Rasulullah s.a.w. menunjukkan kepada kita kebergantungan pendakwah kepada Allah akan meringankan segala beban. Ketika Rasulullah s.a.w. begitu tertekan setelah ditolak oleh penduduk Taif,
Baginda s.a.w. bermunajat:
“Ya Allah, kepadaMulah aku mengadu kelemahan diriku, sedikitnya upayaku dan hinanya aku di hadapan manusia. Engkaulah Tuhan segala makhluk yang tertindas dan Engkau jualah Tuhanku. Kepada siapakah akan Kau serahkan diriku ini? Kepada yang jauh yang akan terus membantaiku? Kepada musuh yang akan Kau serahkan nasibku di tangannya? Tetapi jika itu tidak mendatangkan kemurkaanMu, aku tidak akan gusar. Ya Allah, dengan cahayaMu yang menerangkan seluruh kegelapan dan mengindahkan urusan dunia dan akhirat aku berlindung dari ditimpakan ke atasku kemurkaanMu atau dijatuhkan ke atasku kemarahanMu. KepadaMu jualah aku menyerah sehinggalah Engkau meredhaiku. Tiada upaya dan kekuatan melainkan denganMu.”
II. KEKUATAN HAKIKI
Pendakwah gusar dakwahnya ditolak oleh manusia. Dia memperelokkan kata-kata dan menghiasnya. Dia menyusun madah dan mengungkapkannya dengan penuh keyakinan. Menyelitkan nas dan bidalan supaya kata-katanya lebih difahami. Menggertak dan memujuk supaya emosi manusia tersentuh untuk berubah. Tetapi tiada yang mendengar kata-katanya dan tiada yang mempedulikan seruannya. Rupa-rupanya pendakwah kadang-kadang lupa bahawa dakwah kepada manusia adalah dakwah kepada hati sebelum dakwah kepada akal dan jasad. Hati hanya akan memahami bahasa hati. Kiasan dan bidalan, madah dan permisalan, gertakan dan pujukan hanya akan berinteraksi dengan akal. Sedangkan hati terus menunggu habuannya dari kata-kata hati.


leave a comment